Ukhuwah Itu Pada Berlapang Dada
“Assalamualaikum, boleh tumpang duduk di sebelah?” sapa saya pada seorang adik usrah ni.
“Eh kak, duduklah,” dia terkejut kedatangan saya di taman itu. Tempat selalu kami ‘lepak-lepak’ raih ketenangan di hujung minggu.
“Redupkan petang ni kan?” dia memulakan bualnya. Saya lirik-lirikkan mata melihat wajahnya. Semacam ada masalah yang sengaja disembunyi dari saya.
“A'ah! Redup-redup. Tapi wajah adik tak seredup petang ni akak tengok,” saya memancing. Zira gugup.
Dia diam. Tersipu-sipu memalingkan wajahnya ke arah lain.
“Eh akak ni, ke situ pula. Ada-ada aja, saya ok je kak,”
“OK yang buat-buat atau ada apa-apa yang Zira sembunyikan daripada akak?”
Selepas memancing dengan pelbagai selok-belok, akhirnya Zira membuka cerita sebenar. Oh! Rupanya Zira ada salah faham dengan seorang sahabat karibnya, Imah.
“Apa Dik kata pada Imah, sampai dia merajuk macam tu sekali?” soal saya. Dia diam lagi, mungkin dia cuba ingat-ingat semula peristiwa yang terjadi semalam. Pudar saja matanya. Barangkali menggamit sedikit sesalan.
“Adik dah minta maaf pada Imah?” saya menambah, cuba mahu meredakan hati kusut Zira.
Dia menggeleng. Diam Zira petang itu terus digamit perasaan.
“Akak rasa Zira yang salah ke kak?” soal Zira ingin kepastian. Saya gembira, kerana dalam kata-kata yang terlontar oleh Zira tadi sudah nampak ada sedikit keterbukaan.
“Dalam hal ini, bukan soal siapa yang bersalah, tapi siapa yang dahulu mahu meminta maaf, dia yang dikira teman terbaik dalam persahabatan,”
“Kalau Adik tak bersalah sekalipun, apa kurangnya kalau adik yang dahulukan untuk memohon maaf,” lembut saya menyatakan pada Zira. Agar dirinya tidak tersinggung dan supaya hatinya terus terbuka untuk merapatkan jurang.
“Tapi kak....”
“Hmmm?”
“Tak akan teguran macam itu pun Imah nak ambil hati. Lagipun saya dan dia dah lama sangat bekerja bersama, kena fahamlah,” Zira menyambung kata-katanya yang terputus tadi. Nampak berangnya.
“Faham yang macam mana adik maksudkan?”
“Iyalah, takkanlah kerana teguran yang sikit tadi, menyebabkan dia merajuk sampai abaikan tanggungjawab?”
“Zira rasa macam itu?”
“Hmm.. maksud adik, tanggungjawab lebih utama daripada melayan perasaan sendiri atau merajuk, begitu?” tambah saya. Zira cepat-cepat mengangguk, wajahnya serius memandang saya menunggu jawapan.
“Kalau Zira duduk di tempat Imah, agak-agak apa Zira rasa?” saya menduga seketika. Zira diam lagi.
“Masakan adik tidak tahu perasaan Imah, 2 tahun akak tengok Zira rapat dengan dia,”
Saya pula diam, membiarkan Zira berfikir. Dia kelihatan sedih.
“Adik tak setuju dengan pendapat akak? Marah dengan akak?” soal saya. Perlahan-lahan dia menggeleng. Saya merapatkan duduk saya disebelahnya.
“Ingat lagi kisah Nabi Yunus a.s.? Masa mula-mula berdakwah dia sangat konsisten dalam kerja dakwahnya. Lama-kelamaan bila umatnya tak mahu terima dakwahnya. Nabi Yunus a.s. meninggalkan kampung tersebut. Agak-agak Zira, kenapa Nabi Yunus buat begitu?”
“Tak akan seorang Nabi bersifat dengan putus asa,” saya memecahkan kebuntuan agar Zira dapat mencari jawapan yang sudah ada pada saya.
“Merajuk?” jawab Zira.
“Lagi?” saya mengorek. Zira terkedu tak menemui jawapan yang sebenar.
“Kalau akak kata Baginda berkecil hati adik setuju?” soal saya.
“Sebab kaumnya tak menerima Nabi Yunus, lalu baginda pun berkecil hati. Macam itu ke maksud akak?” jawapan tepat yang saya cari sudah jumpa.
“Sekarang adik sudah akui bukan? Yang Nabi pun ada perasaan, kadangkala gembira, adakalanya pula bersedih dan berkecil hati. Dalam kisah tadi adakah Nabi Yunus tak sedar akan tanggungjawab dia sebagai rasul? Sedangkan tanggungjawabnya sebagai seorang rasul lebih besar daripada melayan rajuknya tadi?”
“Sudah tentu bukan kak!” Zira sudah mulai faham topik yang saya cuba sampaikan.
“Dia cuma berkecil hati dengan kaumnya yang tidak mahu menerima dakwahnya. Sebab apa nabi merajuk? Kerana dia pun ada perasaan macam Zira juga, macam Imah juga,” pantas saja jawapan saya.
“Dalam persahabatan juga begitu, Imah bukan tidak tahu tanggungjawab dia pada Adik dalam gerak kerja ni, tetapi cuma berkecil hati sedikit. Manalah tahu kalau-kalau Zira ada berkasar bahasa yang menyebabkan dia tersentuh dan merajuk,” tambah saya.
“Adik tak rasa macam tu?” tanya saya menduga.
PADA BERLAPANGNYA DADA...
“Hmm..saya kurang jelas dengan perasaan dan tanggungjawab tadi. Mana yang perlu didahulukan ye kak?” saya nampak dia mulai faham konsep yang saya mahu sampaikan.
“Dua-dua penting dik!”
“Ibarat seperti makan dan minum. Kedua-duanya perlu ada beriringan, kadangkala bila dahaga kita minum dulu baru kita menjamah makanan. Adakala bila terlalu lapar kita terus makan dan kemudiannya baru menguk air. Dan kalau dah stabil, mana-mana sahaja boleh didahulukan. Kalau perasaan dan hati lapang, kerja dan tanggungjawab jadi mudah dan senang,justeru senang nak perolehi Ikhlas. Baru persahabatan berpanjangan,” tambah saya lagi.
“Habis tu saya kena minta maaf pada Imah?”
“Siapa-siapa pun tak apa. Kalau adik rasa ini jalan terbaik untuk ukhwah adik dengan Imah. Teruskan,” cadang saya.
“Adik kenalah berlapang dada,”
“Berlapang pada?” Dia terkejut. Mungkin pertama kali mendengar perkataan itu.
“Maksudnya, lupakan saja apa yang berlaku untuk menjaga maslahat yang lebih besar. Yakni, PERSAHABATAN dan UKHWAH,” jelas saya. Zira nampak sedikit ceria. Mungkin sudah mulai faham.
Petang yang damai itu, saya puas dapat mengikat semula dua hati. Juga dapat memahamkan yang ukhwah itu memerlukan perasaan dan hati yang perlu di jaga dan di pelihara. Hati dan perasaan itu halus, lalu ia perlu dijaga dengan rapi. Bukan sekadar berlapang dada, tapi juga perlu memahami di antara satu sama lain.
“Nak ke mana tu dik?” tiba-tiba saja Zira bangkit mahu meninggalkan saya.
“Nak cari Imah lah kak,”
“Tinggalkan akak sorang-sorang?” saya bergurau.
“Aduh. Manja sangatlah akak ni. Dah kahwin nanti susahlah suami akak nak kena angkat macam ni,” dia mencapai tangan yang saya hulur.
Berderai hela tawa. Petang itu menjadi saksi usia persahabatan kami.
p/s : tulisan asal adalah dari Afiq Saleh.Syukran sahabat
~Begin With The End of Mind~
Currently have 0 comments: