Aquasprite Theme Demo

Key Performance Index Muslim

20 May 2009 , Posted by Syaheed at Wednesday, May 20, 2009


Salam Intelek,

Beberapa minggu yang lepas, saya dan exco ma'ruf club yang lain telah berkampung beberapa hari bagi membincangkan KPI yang telah kami capai sepanjang semester lepas. Pelbagai cadangan, kritikan membina serta muhasabah telah di lontarkan sepanjang perbincangan dan brainstorm antara kami dengan satu semangat untuk membawa ma'ruf club lebih kehadapan sebagai satu kelab dakwah di UIA.

Kita tinggalkan dulu KPI ini. Kali ini,suka untuk saya kongsikan satu artikel tentang KPI kita sebagai seorang muslim dan mukmin. Kalau didalam berpersatuan, kita sering menilai prestasi gerak kerja kita, bagaimana pula KPI kita sebagai seorang muslim dan mukmin?

ANDA seorang Muslim! Tetapi sejauh mana anda mengetahui diri anda adalah Muslim sejati, diredai Tuhan dan berada pada jalan yang lurus?

Pastinya ia memerlukan kepada penanda aras atau neraca untuk mengetahuinya.

Penceramah bebas, Ahmad Shukri Yusof, berkata dalam mengukur tahap keislaman dan pengabdian diri konsep kita sebagai Muslim tidak boleh lari daripada tiga perkara utama iaitu Islam, iman dan ihsan.

"Islam ialah yang membabitkan rukunnya kenalah mencukupi, seperti ibadat solat, haji dan zakat perlu ditunaikan dengan sempurna.

"Persoalan iman membabitkan enam perkara. Dalam ihsan, kita melakukan ibadat seolah-olah kita melihat Tuhan, jika tidak dapat melihat Tuhan, lakukanlah seolah-olah Tuhan melihat kita," katanya.

Menurutnya, dalam Islam juga ada konsep muhasabah iaitu melihat kekurangan yang ada pada diri dan kesilapan dilakukan, memperbaikinya dan melakukan yang lebih baik pada masa depan.

"Ramai orang berkata, muhasabah adalah membabitkan perkara yang sudah dilakukan, manakala perkara sebelum dan sedang dilakukan adalah tidak termasuk dalam muhasabah.

"Tetapi sebenarnya, kita kena lihat juga perkara yang belum dan sedang dilakukan, sama ada baik atau tidak, bahkan kesudahannya baik atau sebaliknya.

"Itulah neraca kita sebagai Muslim. Persoalan sama ada amalan yang dilakukan itu diterima atau tidak terserah kepada Allah," katanya.

Mengenai amalan yang ikhlas, Imam Nawawi dalam keterangannya seperti dilaporkan dalam Hadith 40, berkata amal ada tiga bahagian, iaitu:

* Amal yang dikerjakan kerana takut kepada Allah. Amal ini dinamakan ibadat hamba.

* Amal yang dikerjakan kerana mendapatkan syurga dan pahala. Amal ini dinamakan ibadat saudagar.

* Amal yang dikerjakan kerana malu kepada Allah dan dilaksanakan hak pengabdian, malah membuktikan kesyukuran serta merasakan diri sebagai seorang yang masih di dalam kecuaian dan kebimbangan yang penuh ketakutan kerana tidak tahu adakah amalnya diterima atau tidak. Amal ini dinamakan ibadat yang merdeka.

"Dan inilah rupa amal ibadat yang dimaksudkan Rasulullah sewaktu menjawab sungutan Aisyah yang berkata: Mengapakah Rasulullah bersusah payah berdiri solat waktu malam hingga bengkak-bengkak dua belah kakinya, sedangkan Allah sudah mengampunkan dosanya yang lalu dan yang akan datang! Rasulullah dalam jawapannya berkata: Tidakkah patut aku menjadi hamba yang bersyukur!"

Ketiga-tiga bahagian amal ini yang dinamakan amal ibadat orang yang ikhlas dan perbezaannya terletak pada bahagian terbabit.

Ahmad Shukri yang juga Perunding Motivasi Fitrah Power Resources berkata, neraca yang diguna pakai Islam adalah bersifat syumul, kerana bertunjangkan akidah dan wahyu Ilahi.

Sementara neraca yang lain dari Islam menurutnya tidak sedemikian kerana lebih bersifat luaran dan material, malah ia mungkin baik dari satu sudut dan tidak pada sudut yang lain.

Al-Syahid Sayyid Qutb dan Abul Ala Al-Maududi dalam Manhaj Hidup Muslim, berkata kayu ukur yang dipakai Allah dalam menilai kedudukan seseorang adalah apakah hidupnya, matinya, kesetiaannya, kepatuhan dan pengabdiannya.

"Seluruh hidup dan kerjanya ditujukan kepada Allah semata-mata, lalu ia dinilai sebagai seorang Mukmin dan Muslim.

"Tetapi apabila semua itu diperuntukkan bagi yang lain, ia bukanlah Mukmin atau Muslim. Siapapun yang tidak memenuhi ciri ini bererti kurang imannya.

"Menurut Allah, satu-satunya hal yang dapat dinilai adalah apakah anda telah memberikan segala yang anda miliki pada jalan-Nya.

"Bila anda telah melakukannya, anda akan memperoleh hak istimewa, diberikan kepada mereka yang setia kepada-Nya dan menerima hak pahala bagi pengabdian anda kepada-Nya.

"Tetapi bila anda mengecualikan apa pun juga dari pengabdian kepada-Nya, pengakuan anda sebagai seorang Muslim, yang bererti anda mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah adalah pengakuan palsu, hanya dapat mengabui mata dunia dan masyarakat Islam, tetapi tidak akan dapat menipu Allah."

Sekiranya mekanisme KPI memandang penting kepada objektifnya, kehidupan seorang Muslim meletakkan sasaran bertemu Allah di akhirat.

"Maka sesiapa mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah kerjakan amal soleh. Dan janganlah ia sekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya." (al-Kahfi: 110)

~Berjuang,berjuang & terus berjuang~

Currently have 0 comments: