Aquasprite Theme Demo

PKPIM: Muzik, personaliti Avril OK

27 August 2008 , Posted by Syaheed at Wednesday, August 27, 2008



Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) tidak melihat sebarang masalah dengan penyanyi punk pop wanita kelahiran Kanada, Avril Lavigne, yang akan mengadakan konsertnya Jumaat ini.

Presidennya Mohd Hilmi Ramli berkata penyanyi itu yang dianggap sesetengah pihak di negara ini sebagai seksi "lebih baik sedikit daripada artis-artis luar negara" yang pernah membuat persembahan.

"Avril Lavigne OK sebenarnya. Tidak ada elemen yang tidak baik. Personalitinya lebih baik," tambahnya. "Muziknya OK sikit."

Oleh itu, PKPIM tidak merancang untuk mengadakan demonstrasi membantah konsert 29 Ogos ini seperti diura-urakan oleh sesetengah pihak.

"Dan kami tidak ada niat untuk mengadakan demonstrasi," kata Mohd Hilmi kepada Malaysiakini.

Konsert tersebut dibenarkan kembali oleh kerajaan Sabtu lalu selepas dilaporkan mahu ditangguhkan beberapa hari sebelumnya.

Penganjuran konsert tersebut mendapat bantahan daripada PAS dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) mulai awal bulan ini.

Pemuda PAS Wilayah Persekutuan semalam menyeru beberapa organisasi seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) menyertai bantahannya.

"Pemuda (PAS) Wilayah melihat seolah-olah menteri-menteri Umno tunduk kepada tekanan luar apabila tiba-tiba sahaja bersetuju meluluskan konsert berkenaan.

"Menteri-menteri Umno bacul kerana tidak dapat mempertahankan maruah umat Islam dan Melayu di negara ini.

"Pemuda Wilayah akan menghantar semula memorandum kepada pihak kerajaan bagi membantah dan mengutuk sekeras-kerasnya kelulusan yang telah diberikan.

"Jika perlu Pemuda Wilayah akan turun berdemonstrasi di jalan raya membantah konsert Avril," satu kenyataan di blog Dewan Pemuda PAS itu dipetik.

Timbalan pengerusi hal-ehwal wanita Gamis, Zafirah Zainuddin hari ini tidak bersetuju dengan pendirian PKPIM.

"Mengikut permerhatian Gamis, video-video klip dan gambar-gambar, penampilannya keterlaluan, mendedah (badan) dan tidak seiring dengan budaya kita.

"Ia mempengaruhi pemakaian anak muda. Ia membawa muzik punk dan punk memberi kesan negatif kepada anak muda," katanya kepada Malaysiakini.

PKPIM bagaimanapun, kata Mohd Hilmi, berpendapat pemilihan tarikh untuk mengadakan konsert itu tidak sesuai.

"Cuma tarikh konsert itu diadakan dekat dengan Ramadhan dan kemerdekaan, seolah-oleh kerajaan tidak sensitif dengan keadaan dan waktu," kata Mohd Hilmi.

Demonstrasi berhubung isu yang sama berulang-ulang akan "menjatuhkan imej" PKPIM sebagai pertubuhan dakwah, tambahnya, dan ia tidak mahu kelihatan mengambil "pendekatan keras."

*Sumber dipetik dari malaysiakini.com

*NurIslam makin xpaham dgn prinsip dan pendirian PKPIM.

Currently have 1 comments:

  1. hmm.. terkedu kejap bace ni