Aquasprite Theme Demo

Showing posts with label isu semasa. Show all posts
Showing posts with label isu semasa. Show all posts

Maruf Club UIAM Membantah Sekerasnya Kerajaan Lulus Lesen Judi

Posted by Syaheed on 16 May 2010 , under , , | comments (2)




Berita berkenaan kerajaan secara rasminya memberi lesen judi kepada Kumpulan BERJAYA amat mengecewakan banyak pihak terutamanya umat Islam di Malaysia keseluruhannya. Keputusan ini menimbulkan persoalan di manakah letaknya slogan Negara Islam yang sering dilaungkan-laungkan oleh kerajaan? Adakah dengan meluluskan lesen judi membuktikan Malaysia sebuah Negara Islam tulen atau sekadar menjadi slogan semata-mata?

Memetik kata-kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein berkata, tindakan kerajaan itu bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini. Menurutnya lagi, ia adalah salah satu tindakan yang menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.

“Oleh itu sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap rakyatnya, kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya dan sebarang langkah perlu dilakukan secara berkesan bagi menangani masalah bookie tanpa lesen termasuk membenarkan pertaruhan bookie bola sepak dilaksanakan melalui perlesenan sah,” katanya.

Sebagai salah sebuah entiti yang berpegang kepada sumber Al-Quran dan Al-Hadith,Ma’ruf Club UIAM bertegas menolak tanpa kompromi sebarang usaha tidak bermoral ini yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Sebagaimana yang telah difirmankan Allah dalam ayat-Nya :

“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, BERJUDI, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah , adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan” : AL-Maidah ayat 90.


Maka, Ma’ruf Club akan menentang sekeras-kerasnya keputusan tersebut malah tidak akan teragak-agak untuk turun ke jalanan bersama rakyat sebagai alternatif terakhir bagi menyokong bantahan pengeluaran lesen judi ini. Sewajarnya kerajaan perlu lebih tegas dalam soal ini kerana ia melibatkan soal agama dan sensitiviti umat Islam.

Timbalan Menteri Kewangan itu turut dipetik sebagai berkata, “jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.”

Kenyataan tersebut seolah-olah cuba menjustifikasikan keputusan mereka dan mengelakkan diri daripada dipertanggungjawabkan. Ma’ruf Club melahirkan rasa dukacita yang teramat di atas kedangkalan idea seorang yang bertaraf menteri ini. Umum maklum bahawa judi menimbulkan banyak penyakit sosial dan ia adalah warisan daripada peninggalan jahiliah yang kini menjadi candu kepada Barat. Sepatutnya kerajaan perlu lebih serius menangani gejala sosial yang semakin meruncing dan membarah dalam masyarakat. Peranan kerajaan sepatutnya mengubati dengan menggalakkan kebaikan bukannya mempromosikan keburukan.

Ma’ruf Club juga berpendirian bahawa sekalipun judi telah dihalalkan oleh undang-undang Malaysia, namun ia adalah perbuatan yang sangat jelas dinyatakan pengharamannya dalam Al-Quran tanpa apa-apa kompromi dan memihak kepada mana-mana kepentingan. Yang haram itu jelas dan yang halal itu jelas.

Oleh itu,Ma’ruf Club berharap, kerajaan dapat membatalkan pengeluaran lesen judi kepada Kumpulan BERJAYA dan mengharamkan terus aktiviti ini daripada terus berleluasa. Agamawan pula perlu menyuarakan pandangan masing-masing supaya rakyat tidak terkeliru dengan keadaan yang tidak normal ini. Jika tidak,rakyat khususnya golongan muda tidak akan teragak-agak untuk menukar kerajaan pada PRU-13 yang akan datang.


Nur Shahidat Mohamed,
Timb. Pengerusi 2,
Ma’ruf Club UIAM 2009/2010


Gerakan IPT : Bakal Kepimpinan Sentiasa Diperhatikan Oleh Illuminati

Posted by Syaheed on 15 January 2010 , under , , | comments (1)





Bismillahi Walhamdulillah

Setelah beberapa lama tidak melakukan solat subuh berjemaah di masjid pada hari jumaat, hari ini, alhamdulillah diberikan kekuatan oleh Allah untuk melakukan sujud sajadah di masjid bersama 2 orang lagi sahabat. Nyaman dan tenangnya suasana hari jumaat ini. Sayyidul Ayyam yang sentiasa di tunggu-tunggu kemunculannya.

Ketika nak balik dari masjid pagi tadi, saja ambil jalan jauh semata-mata nak tengok suasana pilihanraya kampus yang dilihat masih suam-suam kuku. Tidak tahu dimana silapnya, mahasiswa seolah-olah mengambil sikap
'aku tidak pedulisma' terhadap pilihanraya kampus (PRK) pada kali ini. Mungkin kerana kurangnya pendedahan tentang political education dari pihak pentadbiran sendiri.Oleh itu,usaha yang berlipat kali ganda perlu dilakukan oleh pihak berwajib agar kemeriahan PRK dirasai kehadirannya.

Ayuh mahasiswa! Masih belum terlambat untuk kita membuktikan bahawa demokrasi kampus masih hidup dan tidak tenggelam dek anasir-anasir luar yang semakin liar dan mengganas.Pilihlah pemimpin yang dirasakan layak untuk memimpin dan membawa agenda dakwah islam kepada semua masyarakat kampus.

Berkaitan tajuk entri pada kali ini, suka untuk saya mengajak semua gerakan islam yang wujud di IPT ( GAMIS, PKPIM, JIM ) untuk sama-sama berganding bahu dan berpegangan tangan bersama-sama dalam mempergiat dan menjayakan aktiviti dakwah islam kepada masyarakat diluar amnya dan kampus khususnya kerana sesungguhnya pihak musuh khususnya zionis dan agen dajjal sentiasa memerhatikan gerak geri kita.

Tiadalah perkara lain yang lebih menakutkan pihak musuh Islam terhadap manusia Muslim yang berada di IPT-IPT seluruh dunia melainkan satu kelompok yang berasaskan Jemaah Harakah Islamiyah .

Illuminati sedar bahawasanya ketentuan halatuju, kemantapan, perancangan dan kesinambungan perjuangan harakah islamiyah bagi sesebuah negara Islam akan bergantung sepenuhnya terhadap kekukuhan manhaj setiap mahasiswa yang bergelar jemaah.

Persoalannya sekarang mengapa ahli Jemaah sangat merbahaya kepada Illuminati?

Mahasiswa yang berjemaah tidak sama intergriti intelektualiti nya dengan mahasiswa yang tidak berjemaah walaupun kedua-dua mahasiswa tersebut berada di bidang Pengajian ilmu-ilmu islam. Mahasiswa yang memperjuangkan Islam tanpa menyertai jemaah umpama seorang Muslim yang bersolat seorang diri di dalam masjid.

Menurut bekas Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Allahyarham Dr. Mustapha Masyur, kerja-kerja secara berjemaah adalah wajib;

“Oleh kerana bagi mencapai tujuan yang besar ini (jihad) merupakan kewajipan yang difardhukan oleh Islam ke atas umatnya, dan tidak mungkin dicapai kecuali dengan berjemaah dan kerja-kerja jemaah, maka kerja berjemaah ini menjadi wajib.”
(Mustapha Masyur, Jalan Dakwah: Antara Qiyadah dan Jundiyyah, hlm 7)

Perjuangannya mungkin kelihatan murni dan benar tetapi kekuatan dan keampuhan perjuangan itu kurang keberkesanannya dan mungkin hanya akan berlegar di dalam diri sahaja. Berbanding dengan mahasiswa yang berjemaah, walaupun teramat kecil bilangannya tetapi wadah perjuangan dikawal bai’ah yang mengikat persetiaan hidup dikalangan ahli-ahli jemaah.

  1. Mahasiswa Islam yang berjemaah mempunyai hierarki kepimpinan yang sangat sistematik walaupun tidak direkodkan seperti perlantikan Amir dan Amirah, Naqib dan Naqibah bagi sesuatu kumpulan-kumpulan kecil.
  2. Mahasiswa Islam yang berjemaah mempunyai sistem pembelajaran ilmu Islam yang tersusun melalui usrah-usrah di peringkat kelompok, Koleh dan IPT. Selain itu, jemaah juga perlu menghadiri tamrin-tamrin yang dijadualkan oleh para amir dan amirah.
  3. Mahasiswa Islam yang berjemaah mempunyai ikatan persahabatan seumur hidup berasaskan baiah yang diucapkan.

Namun begitu, muslim tanpa menyertai jemaah ada peranannya tersendiri mengikut kemampuan yang ada. Manakala muslim yang berjemaah tetapi akhirnya meninggalkan perjuangan selepas tamat pengajian adalah lebih mengaibkan kerana ia bisa saja melunturkan semangat ikhwan-ikhwan di dalam jemaahnya.

Kepimpinan Illuminati Adalah Golongan Intelektual

Di dalam Illuminati sendiri, golongan yang mempelopori gerakan itu ialah bekas-bekas pelajar universiti dari pelbagai bidang. Hatta sejarah Illuminati sendiri, jika dilihat ianya juga ditubuhkan oleh golongan berpendidikan iaitu Dr. Adam Weishaupt yang berpendidikan Undang-Undang malah menjadi profesor undang-undang di Universiti Ingolstadt, Perancis.

Tidak ada kepimpinan di dalam Illuminati mahupun secret society yang lain seperti Trilateral Commission, Bilderberg Group, Club Rom, Skull & Bones dan sebagainya mengambil individu tidak berpendidikan untuk menerajui organisasi.
Individu yang berpendidikan atau berilmu sangat tinggi nilainya malah Allah sendiri berfirman tentang orang-orang yang berilmu bahawasanya;

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain), maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (serba-serbinya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjah orang-orang yang beriman diantara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengethauan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjah dan (ingatlah) Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.”(al-Mujadalah: 11)

Pensyarah Berjemaah Sentiasa Diperhatikan Musuh Islam

Walaupun pada hakikatnya jemaah-jemaah di IPT diuruskan secara total oleh mahasiswa tetapi musuh-musuh Islam tahu pendokong yang membantu dari belakang ialah para pensyarah yang berfikrah Islam. Golongan pensyarah sentiasa diperhatikan gerak-gerinya khususnya berkaitan hubungan mereka dengan pelajar-pelajar kelas mereka.

Illuminati amat takutkan golongan ini kerana mereka sentiasa menjadi perangsang semangat kepada pelajar-pelajar mereka yang berjemaah malah masa dan harta benda mereka juga diinfakkan untuk kerja-kerja amal jemaah.

Bagi Illuminati, golongan kecil ini boleh menjadi faktor penyebab lahirnya penjuang-pejuang Islam berstatus intelektual di peringkat global. Golongan pejuang Islam yang berstatus profesional lebih membahayakan bagi puak Illuminati kerana pemikiran mereka ‘out of box’ dan manhaj yang dipegang juga kukuh dan sukar tergelincir dari landasan jihad.

Apabila Jemaah Mempunyai Ilmu Konspirasi, ia lebih membahayakan Illuminati

Apabila seseorang ahli Jemaah mempunyai pengetahuan dalam hal ehwal konspirasi Zionis, sudah pasti ia menjadi batu bara untuk golongan Illuminati kerana golongan seperti ini sudah pasti tidak duduk diam sahaja memerap ilmu-ilmu itu melainkan ianya dikaji dan disebarkan dengan pelbagai cara.

Jemaah yang mempunyai pengetahuan konspirasi Illuminati kemungkinan boleh menjadi penghalang utama kepada perancangan Illuminati untuk menyerap masuk ke dalam parti-parti Islam. Jemaah seperti ini akan sentiasa bertindak memerhati dan menyelongkar segala macam anasir-anasir yang dikira boleh merosakkan parti-parti Islam.

Jemaah sebegini sangat proaktif dalam membentuk mekanisme khusus bagi menapis agen-agen tersembunyi di dalam kepimpinan parti.

Kemungkinan juga pihak Illuminati hanya boleh memilih jalan menamatkan riwayat golongan ini dengan segala macam kejutan yang tidak diduga bagi memastikan perancangan mereka berjalan dengan sempurna. Namun hakikatnya golongan ini sukar dikesan dan dibukakan rahsia hati mereka.

Baitul Muslim adalah hakikat ketakutan Illuminati

Di dalam jemaah harakah Islamiyah yang bergerak di IPT-IPT sekarang ini, hanya ada satu perkara yang pada pandangan kami paling ditakuti oleh Illuminati. Perkara itu ialah Baitul Muslim.

Walaupun agak ganjil bunyinya tetapi perlaksaan Baitul Muslim di semua peringkat harakah Islamiyah kiranya boleh menggugat perancangan Illuminati secara jangka panjang. Ini kerana, objektif Baitul Muslim (BM) adalah melahirkan keluarga Muslim yang berfikrah Islam melalui pasangan-pasangan yang sama fikrahnya.

Mahasiswa yang berjemaah walaupun tidak aktif sudah pasti akan terpahat dalam dirinya akan mendidik seluruh ahli keluarganya kelak agar menyertai jemaah. Apabila ramai ahli jemaah dikalangan golongan muda berpelajaran tinggi maka jarum-jarum sekular yang menyuntik dunia ilmu Islam sejak ratusan tahun dahulu mudah dikeluarkan.

Kesimpulan

Setiap konspirasi dari Illuminati dalam meranapkan harapan masyarakat Islam secara hakikatnya dapat dilihat akan menjurus kepada menghancurkan jemaah harakah islamiyah dalam apa cara sekali pun. Meskipun perancangan Illuminati itu untuk memusnahkan jemaah Islam seluruh dunia tidak dinyatakan secara zahiriah dan bertulis tetapi hambatan waktu yang menimpa ke atas setiap jemaah Islam di seluruh dunia membuktikan jemaah sangat dibimbangi Illuminati.

Illuminati sedar jemaah adalah satu-satunya tentera tersembunyi tanpa senjata bagi masyarakat Islam yang akan melancarkan daulah Islamiyah secara serentak di bawah pengawasan ulama’.

Illuminati juga sedar cara terbaik menghalang pengaruh jemaah ini adalah dengan menguasai sistem-sistem politik dalam negara dari segenap sudut dan menggunakan orang-orang Islam sendiri yang berfahaman sekular sebagai jambatan aliran perancangan mereka.


sumber rujukan : ibnuyaacob.com

wallahu'alam.


~BErjuang..berjuang..& terus berjuang~

Isu Kartika : Apabila Keinsafan Mengatasi Segalanya

Posted by Syaheed on 05 January 2010 , under , , | comments (1)



Bismillahi Walhamdulillah,

Isu tentang pelaksanaan hukuman sebat ke atas seorang ibu berusia 32 tahun, Kartika Sari Dewi Shukarno terus hangat diperkatakan sehingga kini. Kes yang tertangguh begitu lama iaitu pada bulan Julai 2009 masih belum lagi diselesaikan dengan sempurna.

Maruf Club melahirkan rasa simpati terhadap nasib yang menimpa saudari Kartika di atas penagguhan hukuman sebat terhadap beliau dan menggesa kepada pihak Mahkamah Syariah Pahang agar menyegerakan hukuman tersebut. Ini bagi memberi peluang kepada beliau untuk memulakan kehidupan yang baru dengan lebih tenang seperti yang telah dikatakan oleh beliau, “Hukuman dunia saya akan terima, hukuman di akhirat biar Allah tentukan. Setakat ini mahkamah belum memberitahu bila hukuman itu akan dijalankan, dan saya ingin memohon supaya mahkamah mempercepatkan hukuman sebatan itu."

Diatas rasa tanggungjawab dan sebagai sokongan terhadap beliau, Ma’ruf Club dalam perancangan untuk melawat dan bertemu mata dengan saudari Kartika yang ketika ini juga sedang dalam proses untuk memfailkan pengesahan lafaz talak satu di Mahkamah Syariah Kuala Kangsar.

Ma’ruf Club mengucapkan setinggi tahniah atas sikap yang ditunjukkan oleh saudari Kartika yang begitu tegas berpegang kepada prinsip walaupun beliau sebenarnya boleh merayu atas hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah Kuantan enam bulan lalu. Namun keinsafan dan kesedaran mengatasi segalanya sehingga beliau mahu hukuman itu dilaksanakan segera.

Pun begitu, Ma’ruf Club berharap agar perkara ini bukan hanya menjadi sekadar suatu isu biasa, malah menggesa masyarakat sekeliling khususnya mahasiswa mengambil berat soal hukum hakam dalam Islam dan dalam masa yang sama juga perlu berhati-hati dengan pelbagai dakyah yang dilemparkan oleh pihak-pihak tertentu yang ingin mempersendakan agama.

Sedikit persoalan yang perlu kita renung bersama,

Berapa ramai lagi orang Islam yang ikhlas dan insaf serta rela di adili dan menerima hukuman yang ditetapkan oleh kehakiman Islam, tetapi tidak terbela dan dihalang dari melaksanakan ajaran agama mereka, sebagaimana juga Kartika Sari Dewi?

Bagaimana pula dengan golongan yang menggelar diri mereka Muslim, namun terang-terangan tidak langsung menghormati ketetapan agama, malahan sentiasa pula mencemuh, memperlekeh dan mempersendakan Islam itu sendiri?

Sesungguhnya segala kesilapan dan dosa yang lalu, biarlah kekal menjadi sempadan dan peringatan. Semoga kemelut isu Kartika ini menjadi `pembuka mata’ kepada kita semua, betapa perlunya umat Islam di negara ini kembali kepada akidah yang sahih, penghayatan ilmu yang mantap dan keazaman yang tinggi dalam mempraktikkan Islam dalam kehidupan.

Nur Shahidat Mohamed,
Ma'ruf Club UIAM.