Maruf Club UIAM Membantah Sekerasnya Kerajaan Lulus Lesen Judi
Berita berkenaan kerajaan secara rasminya memberi lesen judi kepada Kumpulan BERJAYA amat mengecewakan banyak pihak terutamanya umat Islam di Malaysia keseluruhannya. Keputusan ini menimbulkan persoalan di manakah letaknya slogan Negara Islam yang sering dilaungkan-laungkan oleh kerajaan? Adakah dengan meluluskan lesen judi membuktikan Malaysia sebuah Negara Islam tulen atau sekadar menjadi slogan semata-mata?
Memetik kata-kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein berkata, tindakan kerajaan itu bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini. Menurutnya lagi, ia adalah salah satu tindakan yang menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.
“Oleh itu sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap rakyatnya, kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya dan sebarang langkah perlu dilakukan secara berkesan bagi menangani masalah bookie tanpa lesen termasuk membenarkan pertaruhan bookie bola sepak dilaksanakan melalui perlesenan sah,” katanya.
Sebagai salah sebuah entiti yang berpegang kepada sumber Al-Quran dan Al-Hadith,Ma’ruf Club UIAM bertegas menolak tanpa kompromi sebarang usaha tidak bermoral ini yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Sebagaimana yang telah difirmankan Allah dalam ayat-Nya :
“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, BERJUDI, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah , adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan” : AL-Maidah ayat 90.
Maka, Ma’ruf Club akan menentang sekeras-kerasnya keputusan tersebut malah tidak akan teragak-agak untuk turun ke jalanan bersama rakyat sebagai alternatif terakhir bagi menyokong bantahan pengeluaran lesen judi ini. Sewajarnya kerajaan perlu lebih tegas dalam soal ini kerana ia melibatkan soal agama dan sensitiviti umat Islam.
Timbalan Menteri Kewangan itu turut dipetik sebagai berkata, “jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.”
Kenyataan tersebut seolah-olah cuba menjustifikasikan keputusan mereka dan mengelakkan diri daripada dipertanggungjawabkan. Ma’ruf Club melahirkan rasa dukacita yang teramat di atas kedangkalan idea seorang yang bertaraf menteri ini. Umum maklum bahawa judi menimbulkan banyak penyakit sosial dan ia adalah warisan daripada peninggalan jahiliah yang kini menjadi candu kepada Barat. Sepatutnya kerajaan perlu lebih serius menangani gejala sosial yang semakin meruncing dan membarah dalam masyarakat. Peranan kerajaan sepatutnya mengubati dengan menggalakkan kebaikan bukannya mempromosikan keburukan.
Ma’ruf Club juga berpendirian bahawa sekalipun judi telah dihalalkan oleh undang-undang Malaysia, namun ia adalah perbuatan yang sangat jelas dinyatakan pengharamannya dalam Al-Quran tanpa apa-apa kompromi dan memihak kepada mana-mana kepentingan. Yang haram itu jelas dan yang halal itu jelas.
Oleh itu,Ma’ruf Club berharap, kerajaan dapat membatalkan pengeluaran lesen judi kepada Kumpulan BERJAYA dan mengharamkan terus aktiviti ini daripada terus berleluasa. Agamawan pula perlu menyuarakan pandangan masing-masing supaya rakyat tidak terkeliru dengan keadaan yang tidak normal ini. Jika tidak,rakyat khususnya golongan muda tidak akan teragak-agak untuk menukar kerajaan pada PRU-13 yang akan datang.
Nur Shahidat Mohamed,
Timb. Pengerusi 2,
Ma’ruf Club UIAM 2009/2010
Agaknya kerana mereka meninggalkan ISLAM HADHARI. :)
Abang Long
Maksiat!!!!! Negara Islam Malaysia Luluskan Lesen Judi